Jodoh Itu Ketentuan Tuhan
Assalamualaikum, buat para pembaca yang disayangi.
Pagi yang tenang ini saya ingin nukilkan sedikit luahan berkaitan jodoh. Sejauh mana kita memahami definisi jodoh itu.
Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang.
Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat
sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan
usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk
membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa
lewat solat. Allah itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik dan sebaliknya.
Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.
يَا عَلِيُّ ، ثَلاَثٌ لاَ تُؤَخِّرْهَا : الصَّلاَةُ إِذَا آنَتْ ، وَالجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ وَالأَيِّمُ إِذَا وَجَدْتَ لَهَا كُفْئًا
Maksudnya :”Wahai Ali tiga perkara jangan engkau lewatkan. Solat jika ia telah masuk. Pengurusan jenazah jika telah datang kematian dan mengahwinkan seorang anak perempuan jika jumpa yang sekufu.”
Riwayat al-Tirmizi (171)
Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada
menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah
tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau
mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita
inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita juga selalu melihat orang
memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang
itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa
pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa
membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan
jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda
pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan
cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang
memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang anda sangka
membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi
deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.
Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebagai
saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang
berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik
melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dangan ijab dan qabul selain
menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut
bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa
seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan
padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih
malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?
“Janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikan mereka, kerana kemungkinan kecantikan itu akan menghancurkan mereka sendiri. Dan janganlah kamu kahwini kerana harta mereka, kerana mungkin harta itu menyebabkan mereka derhaka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Sesungguhnya hamba yang berkulit hitam, tetapi beragama adalah lebih baik.” (HR Ibnu Majah)
Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak
usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah,
belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak,
carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai
yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh
terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi
yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala
tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga
sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada
kesempurnaan insan dan bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah demi
Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah
terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga
anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.
Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia
datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana
menghilangnya sinar? Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi. Cinta yang
disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali
kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok
masih ada. Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada. Kekayaan yang
paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan
yang paling hodoh adalah sesat.
Tidak berguna adanya mata andai tidak
dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai. Nilailah hati itu
dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula
dengan niat yang bertempat di hati.
Comments
Post a Comment