Hadis 35 - HUBUNGAN SESAMA ISLAM DAN HAK-HAK MUSLIM ( Imam Nawawi )
بسم الله الرحمن
الرحيم
اَلسَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dengan nama
Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,Alhamdulillah bersyukur ke hadrat
Ilahi dengan limpah dan kurniaNya kerana diizinkan untuk berkongi dan menerangkan tentang sebuah hadis melalui kitab hadith 40 yang telah disusun
oleh yang mulia Imam Nawawi rahmatullahi Ta’ala. Hadith Arba’in Nawawiyah
adalah kumpulan 40 hadith Nabi Muhammad s.a.w
yang dikumpulkan oleh Imam Nawawi ra. dan merupakan kitab yang tidak
asing bagi kita umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam mengenalnya dan akrab
dengannya, kerana banyak dibahas oleh para ulama dan menjadi rujukan dalam
menyebarkan ajaran Islam kepada kaum muslimin berkaitan dengan kehidupan
beragama, ibadah, muamalah dan syariah.
Imam Nawawi dalam mengumpulkan hadith-hadith
ini telah berinspirasi dengan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh
Imam Ali, Abdullah bin Mas’ud, Mu’adz bin Jabal, Abi Darda, Ibnu Umar, Ibnu
Abbas, Anas bin Malik, Abu Hurairah, Abu Sa’id Al-Khudhri . Semoga Allah
meredhai mereka semua dari berbagai metode periwayatan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa yang menghafal dari umatku 40
hadits yang berisi di dalamnya akan
perkara agamanya, maka Allah akan membangkitkannya di hari kiamat nanti bersama
golongan para fuqaha dan ulama”.
Dalam
riwayat lain disebutkan, “Allah akan membangkitkannya sebagai seorang faqih
dan alim”. Dan dalam riwayat Abu Darda, “Aku pada hari kiamat akan
menjadi pemberi syafaat dan saksi“. Dan dalam riwayat Ibnu Mas’ud,
“Dikatakan kepadanya: Masuklah kamu pada pintu mana yang kamu suka”. Dan
dalam riwayat Ibnu Umar, “Akan ditulis bersama golongan para ulama dan
dibangkitkan bersama para syuhada”.
Sebab
kenapa hadith ini dipilih kerana telah mencukupi segala urusan dan keperluan
umat Islam di dunia dan di akhirat baik dari aqidah, hukum, syariah, muamalah
dan akhlaq. Merupakan kumpulan hadith-hadith nabi pilihan dan memiliki
keutamaan dalam pembahasan yang singkat dan padat. Banyak digunakan oleh para
ulama untuk mengajarkan kepada umat Islam bahkan menjadi sandaran utama dalam
memberikan pemahaman ajaran Islam.
HADITH
35
HUBUNGAN
SESAMA ISLAM
Maksud Hadis Abi Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.w.t. bersabda yang
bermaksud:
Maksudnya: “Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan janganlah sebahagian kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak patut menzalimi, membohongi, dan merendahkannya. Takwa itu di sini (beliau menunjukkan dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang dikatakan buruk jika sampai menghina saudaranya sesama setiap Muslim adalah haram bagi Muslim yang lain.”
Orang Islam bersaudara orang Islam,tidak boleh ia menganiayanya, dan
tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tidak boleh mendustainya dan
tidak boleh menghinakannya.
Taqwa itu di sini kata nabi , sambil menunjuk dadanya tiga kali. Sudah
cukup banyak kejahatan seseorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya orang
Islam. Sekalian orang Islam ke atas orang Islam haram darahnya dan hartanya dan
kehormatannya.
[ Diriwayatkan oleh Muslim]
Syarahannya :
Hadith ini diriwayatkan oleh
Muslim dari Abi Hurairah r.a. Selain Muslim ada lagi hadith-hadith riwayat yang
lain daripadanya yang diantara kandungannya ada sebagaimana yang diterangkan
dalam hadith tersebut ini.
Nilainya :
Hadith ini mengandungi nilai
utama dalam soal persaudaraan Islam, di mana ditegaskan secara perintah akan
larangan-larangan yang tiada boleh dilanggar demi untuk pemeliharaan suasana
persaudaraan itu.
PERKARA
MENGENAI HUBUNGAN DI ANTARA ORANG ISLAM
- BEBERAPA PERINTAH DAN LARANGAN
Pada hadith tersebut Rasulullah ada
menerangkan perkara yang mengenai
hubungan antara orang Islam. Untuk memelihara hubungan ini ditegaskan beberapa
perintah yang merupakan larangan yang wajib dipatuhi, iaitu janganlah kamu
berdengkian- dengkian di antara sesame sendiri. Kerana dengan dengki atau hasad
menyebabkan terputusnya hubungan.
Dengki ialah satu perasaan jiwa
yang tercela. Timbulnya perasaan itu pada seorang oleh kegelisahannya memandang kelebihan yang
ada pada orang lain atau oleh kebenciannya melihat ada orang yang melebihinya
dalam suatu perkara atau keadaan.
Orang yang dengki atau
hasad selamanya gelisah,jiwanya tidak tenteram. Kerana ini dia berusaha untuk
menghilang suatu kelebihan yang ada pada orang lain dengan perkataannya atau
dengan perbuatannya dan berikhtiar untuk memindah suatu kelebihan yang ada pada
orang lain itu kepada dirinya sendiri. Dan ada pula orang yang dengki itu
berusaha untuk menghilang atau mencedera suatu kelebihan dari orang yang
mempunyainya semata-mata kebencian yang melulu,kerana dia sendiri tidak
berhajat kepada kelebihan itu untuk dirinya. Kedua macam kedengkian tersebut
ialah tercela dan inilah perasaan kedengkian yang sejahat-jahatnya yang pernah
digunakan iblis terhadap Nabi Allah Adam alaihissalam sehingga baginda
dikeluarkan dari tempat kediamannya dalam syurga.
Sementara itu,dalam
perasaan marah juga jika disimpan lama maka ianya amat sukar untuk disembuhkan
yang akhirnya akan terpendam lantas menghasilkan rasa dendam. Tanda-tanda itu
dapat dikesan apabila individu itu berterusan membenci dan menjauhi orang
tersebut. Hasad dengki adalah kesan daripada dendam. Daripada az-Zubair
telah bersabda Nabi: "Telah merebak kepada kamu semua penyakit umat-umat
yang sebelum kamu iaitu; hasad dan kebencian". Dalam Sohehain Nabi
bersabda; "Janganlah kamu saling berbencian, janganlah saling memutuskan
persaudaraan, janganlah saling memalingkan muka, jadilah kamu semua hamba Allah
yang bersaudara."
Dalam
hadis yang lain Nabi berkata; "Sesungguhnya hasad dengki itu memakan
kebaikan-kebaikan sepertimana api yang memakan (membakar) kayu api."
Selain itu ada pula
sejenis perasaan dengki atau hasad yang tumbuh dalam jiwa seorang tetapi dia
berdiam diri tidak ada sebarang usahanya yang jahat sama ada dengan
perkataannya mahupun dengan perbuatannya untuk menumpas suatu kelebihan orang
lain. Hasad seperti ini diharap tiada menyebabkan dosa, sebagaimana sabda Rasulullah
yang bermaksud :
"Tiap-tiap anak Adam ada hasadnya, dan
tiada mendatangkan kemudaratan kepada orang hasad oleh hasadnya selama ia tiada
pernah bercakap lidah atau berbuat dengan tangan."
Seterusnya ada lagi sejenis perasaan
hasad yang terbunuh dalam jiwa tetapi segera dilenyapkan serta ditumbuhkan
perasaan cinta kepada orang yang mendapat kelebihan dan didoa supaya dia dalam
keadaan selamat dan sejahtera. Inilah satu-satunya perasaan yang membuktikan
kesuburabn iman yang dipuji. Setelah Rasullullah menerangkan larangan dengki atau hasad, maka diterangkan pula
larangan bertipu-tipuan dan berbenci-bencian dengan sabdanya yang bermaksud : "
Janganlah kamu bertipu-tipuan dan janganlah kamu berbenci-bencian di antara
kamu."
Larangan bertipu-tipuan ialah
melarang seseorang menaikkan harga barang-barang padahal dia sendiri tidak mahu
membelinya untuk menyusahkan orang lain. Perbuatan ini adalah haram. Masuk juga
kepada larangan ini segala perbuatan tipu atau kecoh dalam jual beli.
Larangan benci-bencian ialah melarang
seseorang membenci dengan menghina orang lain semata-mata menurut dorongan hawa
nafsu yang angkuh dan sombong. Perbuatan ini melenyapkan perasaan kasih sayang
di antara seorang dengan saudaranya padahal perasaan ini wajib dipelihara dan
dipupuk dengan semangat cinta sebagai orang yang percaya kepada Allah.
Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud ; " Tidak akan kamu masuk syurga
sehingga kamu beriman. Dan tidak (dikata) kamu beriman sehingga kamu berkasih-kasih.
Mahukah ku tunjukkan kepada kamu satu perkara yang apabila kamu perbuat akan
dia nescaya kamu berkasih-kasih? Iaitu siarkanlah salam diantara kamu.”
Kemudian Rasullullah
menerangkan larangannya dengan sabdanya ; "Janganlah kamu berbelakang-belakangan
dan janganlah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan hendaklah ada
kamu hai hamba Allah, bersaudara. Larangan berbelakang-belakangan atau
berpaling-palingan ialah melarang perbuatan ini dilakukan oleh seorang
semata-mata oleh perkara dunia.
Pada hadith yang lain
sebagaimana yang disebut dalam sahih Bukhari dan Muslim Rasullullah menerangkan
:
"Tiada halal bagi seorang Islam bahawa ia meninggal saudaranya (tiada
menegurnya) lebih dari tiga hari, bila keduanya bertemu maka yang seorang ini
berpaling dan yang seorang itu pula membelakangi. Dan orang yang lebih baik
dari keduanya ialah orang yang memulakan dengan ucapan salam ."
Dan lagi hadis yang lebih keras
ancamannya iaitu : "Barangsiapa
meninggalkan saudaranya (tiada menegurnya kerana musuhinya) selama setahun maka
ia seperti menumpah darahnya."
Larangan menjual di atas penjualan ialah melarang perbuatan itu
dilakukan, kerana akibatnya adalah membawa kepada benci-bencian di antara
sesama sendiri. Contohnya : Seperti dua orang yang membeli itu seraya berkata :
"Batalkan pembelian engkau ini, aku sanggup menjual kepada engkau barang
yang lebih baik mutunya dengan harganya lebih murah dari barang yang engkau
beli itu. "
Demikian pula dilarang membeli di atas pembelian orang
lain. Contohnya : seperti seorang datang kepada orang yang menjual lalu berkata
: "Batalkan penjualan engkau ini. Aku dapat membelinya kelak dengan
harga yang lebih tinggi. "Termasuk kepada larangan ini orang yang
menawarkan barang-barangnya kepada seorang yang lain, padahal pada waktu itu
ada orang yang sedang menawarnya untuk membelinya. Rasullullah S.A.W. bersabda
yang bermaksud : "Tiada menjual seorang lelaki di atas penjualan
saudaranya dan tiada meminang di atas pinangan saudaranya kecuali jika ia izin
kepadanya.
Larangan tersebut sebagaimana yang
diterangkan oleh hadis adalah am meliputi kepada orang Islam dan kepada orang
kafir, demikian menurut pendapat kebanyakan fuqaha kecuali Imam Ahmad dan orang
ramai yang mengatakan larangan itu adalah khas kepada orang Islam tidak kepada
orang kafir.
Setelah diterangkan segala larangan ini
satu persatunya, maka Rasullullah dijelaskan pula keadaan orang Islam dalam
pergaulan dengan sabdanya : “ Hendaklah ada kamu hai hamba Allah!
Bersaudara.” " Dalam Sohehain Nabi
bersabda; "Janganlah kamu saling berbencian, janganlah saling memutuskan
persaudaraan, janganlah saling memalingkan muka, jadilah kamu semua hamba Allah
yang bersaudara."
Sabdanya ini memberi suatu petunjuk jiwa.
Jika mereka mematuhi sepenuhnya segala larangan itu, maka terwujudlah suatu
masyarakat yang aman hidup dalam suasana kasih mesra sebagai saudara yang senasib
bertanggungjawab untuk kesejahteraan bersama sesuai dengan pengajaran Islam.
" DALAM ISLAM,
KITA MESTILAH MENGERATKAN HUBUNGAN SESAMA ISLAM DAN SEKIRANYA KITA MEMUTUSKAN
SILATURAHIM ANTARA ISLAM MELEBIHI TIGA HARI MAKA TEMPAT KESUDAHANNYA IALAH
NERAKA . "
- ORANG ISLAM SAUDARA ORANG ISLAM
Kemudian Rasullullah menerangkan
selanjutnya keadaan sifat orang Islam.
Orang Islam adalah saudara orang Islam. Yang demikian, tiadalah boleh
dianiayainya, tiada boleh dibiarkannya, tiada boleh didustainya, juga tiada
juga dihinanya. Larangan ini wajib dihormati untuk memelihara perpaduan di
antara orang Islam yang di akui sebagai saudara.
Orang Islam tiada boleh menganiaya orang
Islam, kerana penganiayan bertentangan dengan keperibadiaanya sendiri. Tetapi
orang Islam wajib membantu menghindarkan penganiayaan itu serta menolong
saudaranya yang berbuat penganiayaan dan saudaranya yang dianiaya ; dan tiada
boleh ia membiarkan saudaranya dalam kehinaan dilakukan teradapnya tetapi
dikehendaki berikhtiar sekadar yang mungkin bagi melaksanakannya. Mengenai hal
ini Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Tolonglah saudara
engkau, yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Ia berkata : Ya Rasullullah !
Aku pernah menolong orang yang dizalimi, maka bagaimana agaknya aku hendak
menolong orang yang zalim ? Ia bersabda : Engkau tegah ia dari melakukan
kezaliman, maka yang demikian itu bererti engkau menolong akan dia".
"Barangsiapa yang memperhatikan
kepentingan saudaranya,maka Allah akan memperhatikan kepentingannya.Barangsiapa
yang melapangkan suatu kesulitan sesama muslim,maka Allah akan melapangkan satu
kesulitan dari beberapa kesulitan dihari kiamat. Dan barangsiapa yang menutupi
kejelekan orang lain maka Allah akan menutupi kejelekannya dihari kiamat."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada hadis yang lain Rasullullah S.A.W pernah
menyatakan "Bahawa barangsiapa yang tiada mahu menolong seseorang
mukmin yang dihinakan orang disisinya padahal dia mampu menolongnya, akan
dihinakan dia oleh Allah di tengah-tengah khalayak ramai pada hari kiamat.
Sebaliknya pula, orang yang menolong saudaranya dengan cara yang tersembunyi
dalam perkara yang ia dapat menolongnya akan ditolongi Allah akan dia dalam dunia dan akhirat.’’
Juga orang Islam tiada boleh mendustakan
saudaranya orang Islam kerana pendustaan menyebabkan hilangnya perasaan
kepercayaan. Lebih-lebih lagi pendustaan itu dipercayai oleh saudaranya.
Pendustaan seperti ini adalah suatu perkara pengkhianatan, sebagaimana sabda
Rasullullah : "Besarlah pengkhianatan bahawa engkau menceritakan kepada
saudara engkau suatu cerita yang ia percaya kepada engkau, padahal yang
sebenarnya engkau berdusta kepadanya."
Demikian pula orang Islam tiada boleh
menghinakan saudaranya orang Islam sama ada dengan perkataan atau tingkah
lakunya. Sebab penghinaan bukanlah sikap yang baik dalam persaudaraan, malah
sikap inilah yang menimbulkan perbezaan pandangan seseorang dalam pergaulan,
dan tumbuhnya adalah dari perasaan sombong yang terselit di hati ; iaitu
perasaan memandang kepada diri dengan pandangan yang mulia dan sempurna tidak
sebanding dengan orang lain yang dianggap hina susah menderita.
Setelah itu Rasullullah S.A.W mengatakan
"Taqwa itu di sini…..sambil menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga
kali. Ini adalah memberi isyarat atau petunjuk bahawa kemuliaan manusia di sisi
Allah bukanlah dengan cara berlagak, menunjuk diri atau meninggi-ninggi darjat,
peribadi, tetapi adalah dengan sifat taqwa, yang mengeluarkannya amal utama dan
budi mulia, sekalipun orang taqwa itu dipandang hina dan dikeji."
Akhirnya oleh Rasullullah S.A.W.
dijelaskan pula bahawa sudah cukup banyak kejahatan seseorang jika ia
merendahkan atau menghinakan orang Islam dengan cara merosakkan keselamatan
badannya atau menjatuhkan maruah atau kehormatan atau dengan apa sahaja yang
dipandang tiada sopan di luar garisan perikemanusiaan. Dan perbuatan seperti
ini adalah haram di atas orang Islam melakukannya, sebagaimana yang telah
dijelaskan dalam hadis tersebut.
Demikianlah beberapa larangan Rasullullah
S.A.W kepada setiap orang Islam untuk memelihara kemurnian hidup persaudaraan
yang tiada dibatasi oleh kekeluargaan, oleh warna kulit dan keturunan dan oleh
kedudukan. Mereka adalah sebagai satu kaum keluarga, satu jiwa, satu hati, satu
akidah dan satu ibadat, satu hala dan satu tujuan, satu tempat datang dan satu
pula tempat pergi, sakit sama merasa sakit dari senang sama merasa syukur.
Benarlah apa yang digambarkan Rasullullah S.A.W dalam sabdanya yang terkenal :
"Bandingan orang-orang mukmin dalam bercinta-cinta mereka dan berkasih
sayang mereka dan bertolong ,tolongan mereka seperti bandingan satu badan :
Apabila sakit satu anggota daripadanya tertariklah sekalian anggota (hingga)
tiada dapat tidur dan demam."
Sabda Rasulullah SAW,
yang mafhumnya:
“Kamu tidak akan masuk
syurga selagi mana kamu tidak beriman, kamu tidak akan beriman selagi mana kamu
tidak berkasih sayang…”
Pada hadis yang lain dijelaskan bahawa "Seorang
mukmin bagi seorang mukmin itu satu binaan yang sebahagiannya menguatkan
sebahagian dan orang Islam itu seperti satu badan jika sakit matanya sakitlah
sekaliannya dan jika sakit kepalanya sakitlah sekaliannya."
- LARANGAN MEMUTUSKAN SILATURRAHIM
Di dalam islam juga dilarang memutuskan
silaturrahim sesama orang islam. slam amat menuntut umatnya untuk menjaga
hubungan silaturrahim sesama manusia, kerana akibat memutuskan silaturrahim itu
amat besar risikonya bukan hanya setakat di dunia sahaja bahkan juga di akhirat
kelak. Lazimnya, gejala mumutuskan silaturrahim berpunca daripada pertengkaran
atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda, harta pusaka, hutang
piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan mementing diri sendiri. Hatta
perkelahian antara sesama anak atau jiran tetangga pun juga boleh menyebabkan
terputusnya ikatan silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling
salah-menyalahkan, didorong lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran
dan sikap terbuka serta mengalah untuk memohon maaf atau saling bermaafan.
"Sesiapa yang ingin diluaskan
rezekinya,dipanjangkan umurnya,maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim"
[Hadis Riwayat Bukhari ]
Permusuhan dan pergeseran
seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam
diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau
mendamaikan pihak yang bermusuhan ini. Perlu diingat bahawa tanggungjawab untuk
membina semula silaturrahim yang terputus, bukan sahaja terletak kepada dua
pihak yang bermusuhan, tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui
tentang perkara ini juga boleh memainkan peranan yang penting selaku orang
tengah dalam mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus.
Dalam atsar
disebutkan : “ Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadaku agar aku menyambung
tali silaturrahim dengan orang yang memutuskannya denganku, memaafkan orang
yang menzalimiku, dan memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadaku.”
Dalam hadis yg lain pula Rasulullah SAW
bersabda: “Terbuka pintu syurga pada tiap hari isnin dan khamis, maka Allah
berkenan pada hari itu mengampunkan tiap orang yang tidak mempersekutukan Allah
degan sesuatu apapun, kecuali pada orang yg masih bersengketa antaranya dengan
saudaranya, maka dikatakan Allah pada malaikat, Tangguhkan kedua orang itu
sehingga berdamai, tangguhkan kedua orang itu sehinga berdamai, tangguhkan
kedua orang itu sehinga berdamai."
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telahpun meriwayatkan sebuah hadis qudsi,
bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan
makhluk sehingga apabila selesai sebahagian mereka, maka tampillah Rahim dan
berkata: “Ini adalah tempat orang yang berlindung dari terputusnya hubungan
kekeluargaan”, Allah berfirman: “Ya, Jadi apakah kamu rela kalau Aku menyambung
orang yang menyambungkanmu (mendapat balas kasih daripada Allah), dan
memutuskan orang yang memutuskanmu (tidak mendapat balas kasih daripada
Allah)?” Ia berkata: “Ya.” Allah berfirman: “Maka demikianlah untukmu (Allah
menyambungkan rahim orang yang menyambungkan rahim dan memutuskan rahim orang
yang memutuskan rahim).”
(Hadits riwayat Muslim)
Nabi sebut : " Tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur
sapa kepada saudaranya lebih dari tigas hari, maka jika telah berlalu tiga hari
itu, hendaklah dia bertemu dengannya dan memberi salam kepadanya. Jika
saudaranya menjawab salamnya, maka kedua-duanya akan sama-sama memperoleh
pahala. Jika dia tidak menjawab salamnya, nescaya dia akan menanggung dosanya
sedangkan yang memberi salam itu sudah terlepas dari dosa tidak bertegur sapa
itu"
( Riwayat Abu Daud , riwayat dari abu daud
ini dhoif tetapi terdapat riwayat sohih dari al-bukhari )
Kembalilah bersaudara, Andai Habil dibunuh kerana hilang rasa
persaudaraan daripada satu pihak. Andai agama ini pernah membayar harga
persaudaraan itu dengan jenuh dan letih dalam berhijrah. Mengapakah kita
menggadaikan persaudaraan itu semudah-mudahnya, angkara perkara yang kecil,
tetapi dibesar-besarkan?
Oleh yang demikian, eratkanlah
silaturrahim dalam mencapai keredhaan Allah dan jauhilah dari perkara yang
boleh memutuskannya. Tanganilah masalah keluarga dengan perasaan rasional dan
eratkanlah semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran serta
keinsafan, apatah lagi kerana mereka yang tidak mahu berdamai itu akan
dipertangguhkan keampunannya. Begitu
juga mendamaikan di antara dua pihak yang berselisih itu hendaklah dengan adil
dan saksama dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang berselisih, kerana
semua orang yang beriman itu bersaudara dan bertanggungjawab dalam mendamaikan
saudaranya yang lain sebagaimana firman Allah Subahanahu Wa Ta’ala:
Tafsirnya:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di
antara kedua saudara (kamu yang bertelingkah) itu. (Surah Al-Hujurat: Ayat 10 )
Bahawa di antara yang ditunjuk oleh hadis
yang ketiga puluh lima ini ialah :
1.
Hadis ini menunjukkan secara tegas bahawa Rasullullah
S.A.W melarang setiap orang melakukan sebarang perbuatan yang mencederakan atau
merosak kehormatan saudaranya dari orang Islam. Sebab orang Islam mempunyai
kemuliaan dan kehormatan peribadinya, harta miliknya dan maruahnya atau nilai
hidupnya, larangan yang ditegaskannya itu ada sebanyak sembilan perkara dalam
bidang pergaulan umum dan hubungan perniagaan yang kesemuanya merupakan suatu
petunjuk yang sangat berguna kepada orang Islam di segala tempat dan zaman.
2.
Juga menunjukkan bahawa orang Islam dalam dunia ini
adalah bersaudara kerana ini mana diharamkan ke atas setiap orang Islam
mengerjakan suatu yang bertentangan dengan hak persaudaraan itu. Rasullullah
dalam hadis tersebut menegaskan perintahnya mengenai hal persaudaraan tersebut
iaitu : "Berkata Al-Khurtabi, bahawa erti sabdanya ialah :
"Hendaklah kamu menjadi sebagai orang-orang yang bersaudara persaudaraan
satu darah keturunana yang diikat oleh rasa sayang, saling cinta menyintai,
nasihat-menasihati, bantu membantu serta bertimbang rasa."
3.
Hikmah bersilaturrahim ialah dimurahkan rezeki dan
dipanjangkan umur sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu
‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan
dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan
(silaturrahim).” (Hadits riwayat Muslim). Begitu juga bersilaturrahim itu
boleh menambahkan kehormatan dan pahala selepas kematiannya kerana orang-orang
akan mendoakannya setiap kali disebut kebaikannya.
Allah
SWT mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak orang lain.
Pengajaran paling penting adalah kita hendaklah berlaku adil terhadap sesama
manusia. Atas dasar inilah agama Islam menolak sikap membeza-bezakan darjat
ketinggian sesuatu kumpulan manusia di atas dasar bangsa, warna kulit, bahasa,
kewarganegaraan dan seumpamanya. Islam menetapkan bahawa menentukan darjat
manusia semata-mata di atas alasan tersebut sebagai satu manifestasi jahiliyyah
yang menyesatkan. Ingatlah bahawa bumi yang kita diami ini sejak dahulu hingga
ke akhir tamadun kemanusiaan adalah berasal daripada keturunan yang satu. Oleh
kerana itu kita sebagai manusia adalah bersaudara dalam status sebagai
manusia.Kita di tuntut untuk saling kenal-mengenali dan melenyapkan perbezaan
yang ada sesama kita.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat
ayat 13:
Maksudnya: “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami
telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling
berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang
paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya”.
Inilah
di antara petunjuk hadis yang sangat patut diambil perhatian oleh setiap orang
Islam untuk memelihara keteguhan dan keutuhan perpaduan dalam hubungan
persaudaraan kerana dengan pemeliharaan ini wujudlah perasaan muhibbah
diselubungi oleh suasana aman damai.
Dan
inilah pula dasar persaudaraan Islam yang diasas di atas tuntutan agama, serta
dipelihara dengan semangat pengajarannya dalam mana perasaan muhibbah yang
sejati menjadi terasnya. Maka dengan semangat ini terdapatlah saling hormat
menghormati, bantu-membantu, berusaha untuk mewujudkan kebaikan, menghindarkan
kejahatan dan ini pula yang menjadi amalan hidup seseorang dalam masyarakatnya.
Andaikata, oleh suatu hal seorang itu tidak dapat melaksanakan amalan ini, maka
hendaklah dia hidup berdiam diri, tak usahlah mengganggu atau menyusahkan orang
lain. Ikutilah pengajaran ini : "Hendaklah engkau pelihara tiga perkara
yang menjadi habuan orang mukmin iaitu :
- Pertama, jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya maka janganlah engkau menyusahkan dia.
- Kedua, jika engkau tidak mahu menyukakan dia maka janganlah engkau mendukakan dia
- Ketiga, jika engkau tidak hendak memuji dia maka janganlah engkau mencela dia
Wallahhualam…
Dengan ini saya jelaskan mengapa saya memilih Hadith 35
ini kerana saya lebih cenderung untuk membahaskan tentang permasalahan
silaturrahim pada umat islam sekarang. Walaupun hanya nampak remeh tetapi hal
ini sangat penting dalam kehidupan setiap insan. Perlu diambil berat dan usah
mempertikaikannya. Kerana Allah murka akan orang yang memutuskan silaturrahim
sesama islam. Islam mengalakkan kita untuk menyambung tali persaudaraan,suatu
hubungan ukhwah itu fillah Abadan abada. Berbuat baik dengan semua orang
walaupun orang itu berbuat jahat pada kita. Sudah menjadi kewajiban kita untuk
memperbaiki suatu hubungan yang retak akibat perselisihan atau disebabkan
masalah dunia,kerana untuk menggelakkan dari terputusnya hubungan itu. Kepada
Allah diharap keampunan dan rahmat dari NYA.
Wallahu'alam.
Comments
Post a Comment