Kelebihan Memiliki Anak Perempuan

Pada zaman ini, menjaga anak perempuan terutamanya pada peringkat usia
remaja merupakan satu cabaran yang besar buat ibu bapa. Banyak gejala
negatif yang melanda kehidupan anak gadis masa kini, menjadikan kita semakin
bimbang dengan keselamatan diri mereka. Apakah benar kehadiran dan kurniaan
ini menjadi bebanan pada ibu bapa? Atau cabaran kepada ibu dan bapanya?

Satu ketika dahulu, kita sukar melihat anak-anak gadis berjalan-jalan di
pekan kecil atau pun di kota besar. Saya masih ingat, ayah sering menemani
ke mana saja saya pergi, boleh dikatakan ayahlah 'body guard' dan ayah
jugalah 'chauffeur' ke mana saja saya pergi. Memang agak sukar kita
terserempak remaja perempuan berpimpinan tangan di bandar-bandar, di pusat
membeli belah atau di mana sahaja. Kini, yang bertudung tanpa segan silu
mempersendakan tuntutan agama sekali gus mempersendakan perintah Allah
Taala. Yang tidaak bertudung pula, sama sahaja… tiada yang kurang dan tiada
yang lebih. Berani lakukan apa sahaja demi mengikut jiwa remajanya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang memiliki tiga
anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan
mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan
kelebihan rahmat-NYA untuk mereka."

Seorang lelaki bertanya, "Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?"

Sabda baginda, "Juga untuk dua anak perempuan."

Seorang lelaki berkata, "atau untuk seorang wahai Rasulullah?"

Rasulullah SAW menjawab, "Juga untuk seorang." (Hadis Riwayat Ahmad dan
Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara
saudara perempuan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tidak ada bagi
sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu
dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka
ke syurga." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a., dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang
maksudnya, "Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan
memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan
baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka." (Hadis
Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa.
Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka. Daripada
hadis-hadis di atas, dapat kita pelajari bahawa kedua ibu bapa wajib memberi
perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan
merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak
memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud, "Takutlah
kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum
wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami
hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar
sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.

Pernahkah anda mendengar, kata orang tua, ‘menjaga lembu sekandang adalah
lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’? Kemungkinan ini ada
benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka
dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti
menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan
sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya.
Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan
atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan
yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan
memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara
logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan
membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka
mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mendidik anak perempuan
sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan
kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka, Allah Taala dan Rasul-Nya
telah menjanjikan balasan yang amat besar.

Nah! Masih tidak berbangga memiliki anak-anak perempuan?

Renung-renungkan!

Comments

Popular posts from this blog

Zikir Penenang Hati - Hasbi Rabbi..

Hadis 35 - HUBUNGAN SESAMA ISLAM DAN HAK-HAK MUSLIM ( Imam Nawawi )

Perjalanan Hijrah Dan Dakwah Rasulullah SAW