SETIAP PERTEMUAN AKAN ADA PERPISAHAN




Bertemu, bermesra dan berpisah adalah perkara lumrah di dalam kehidupan setiap insan. Jika pertemuan hanya sebentar, pastinya nikmat kemesraan belum dapat dirasakan. Jika berlaku perpisahan, rasa kehilangan atau kesedihan tentulah tidak akan terasa.

Bagaimanapun kemesraan yang sudah lama terjalin hingga menghasilkan rasa hormat dan sayang yang teguh di jiwa, maka perpisahan yang berlaku akan memberi kesan yang besar kepada jiwa. Ia boleh saja menyedihkan, malah menyakitkan. Berpisah hidup tidak sesakit berpisah mati. Kerana yang hidup masih boleh bertemu dan berhubung lagi. Tapi jika berpisah mati, bagaikan dirobek-robek pedihnya hati, tak akan bertemu lagi didunia ini.


Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap jiwa yang hidup pasti akan merasai mati. Sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Kehidupan di dunia itu hanyalah kehidupan yang mempedayakan.”


Ayat Allah SWT itu sudah cukup buat menginsafkan kita bahawa kehidupan di dunia bersifat fana. Kita diberi peluang untuk bermukim di dunia hanya seketika sahaja. Semuanya tidak akan kekal selamanya.Dunia hanya tmpat persinggahan sementara.


Tiba saatnya kita pasti dijemput Allah berpindah ke alam seterusnya yakni alam barzakh. Bersedia atau belum untuk kita berangkat ke sana, tidak perlu diperhitungkan. Jauh lagi perjalanan akhirat kita. Setiap diri kita pastinya akan merasai saat perpisahan dengan insan yang kita cintai. Andai masa hidup anak, isteri,suami, kaum kerabat, jiran tetangga dan sahabat taulan adalah mereka yang kita sayangi. Perpisahan itu pasti. Maka bersedialah apa jua yang bakal kita lalui. 

Firman ALLAH: Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Kalau ketika hayat masih di kandung badan, setiap kudrat kurniaan Allah kita perlu gunakan untuk memperbanyakkan harta duniawi, namun tatkala nafas terakhir ditarik malaikat maut, segalanya kita tinggalkan di dunia ini. Jika sedetik umur yang tinggal dan badan juga semakin bau tanahnya, maka hargailah setiap orang yang kamu jumpai dan orang yang kamu kasihi selagi kamu hidup dan perbanyakkan amal mengingati Allah yang Maha Berkuasa sesungguhnya ingatlah setiap apa yang dilakukan akan dihitung dan diberikan balasan setimpal di akhirat kelak.

Firman ALLAH, Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya ALLAH Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya).” (Surah Fussilat, ayat 40)


5 pesanan Malaikat Jibril kepada Nabi SAW

1 .Hiduplah sesukamu kerana kamu akan mati.
2. Cintailah siapa kamu suka kerana kamu akan berpisah dengannya.
3. Buatlah sesuka hati, namun kamu akan diminta bertanggungjawab ke atasnya.
4. Kemuliaan seorang mukmin dilihat apabila dia bangun solat malam.
5. Tidak bergantung kepada manusia.


Kekuatan seorang manusia itu adalah apabila dia tidak bergantung kepada manusia.Tiada masalah untuk meminta bantuan daripada orang lain. Namun, apa yang ingin disampaikan adalah tempat bergantung yang sebenarnya bagi para mukmin hanyalah kepada ALLAH. Umur manusia itu sangatlah pendek jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Hujung hayatnya seorang insan pasti akan berakhir disuatu persinggahan.

Comments

Popular posts from this blog

Zikir Penenang Hati - Hasbi Rabbi..

Hadis 35 - HUBUNGAN SESAMA ISLAM DAN HAK-HAK MUSLIM ( Imam Nawawi )

Perjalanan Hijrah Dan Dakwah Rasulullah SAW