Musafir lalu

Assalamualaikum w.b.t. Sekian lama sudah tidak menitipkan kata-kata diruangan ini. Hari ini alhamdulillah 3 Ramadhan 1439H  bersamaan 19 Mei 2018 Allah masih panjangkan umur untuk memperbanyakkan amal ibadah dan terus bertaubat kepada Allah. Moga umur ini dirahmati dan diberkati Allah Taala hingga akhirnya.

Bertahun lalu saya mengharungi pelbagai ujian hidup dan pengalaman hidup yang pahit,manis, suka dan duka. Ia menjadi kenangan dan pengajaran buat diri yang lemah ini. Sehingga hari ini saya memegang kata-kata " Aku hanya hamba Allah yang tiada apa-apa hanya menumpang didunia dan akan mati bila sampai waktunya."

Saya hanyalah manusia yang terlalu banyak kekurangan dan kelemahan. Terlalu banyak dosa dan silap didunia ini. Kadang gembira kadang juga berduka. Adakalanya juga berjaya diatas dan adakalanya juga jatuh tersungkur. Menahan rasa sakit,merasa pedih dan sedih. Itu lumrah kehidupan.

Saya teringat akan kata-kata seorang murabbi satu ketika dulu, " Orang yang mendapat ujian dari Allah adalah orang yang didalam pemerhatian Allah dan Allah menyayanginya. Mana mungkin ujian tersebut hanyalah sia-sia kecuali Allah mengangkat darjatnya disisi Allah yang Maha Mencipta dan kifarah atas dosa-dosanya."

Setiap ujian yang Allah beri ,suka atau duka adalah setiap itu mempunyai hikmah tersendiri. Sekiranya penerima itu redha dan ikhlas menerima ujian tersebut maka ganjarannya amat besar sekali.

Kadang saya juga begitu lemah apabila ditimpa musibah. Mengambil masa untuk menenangkan hati dan terima dengan redha(Fitrah manusia). Tidak lari juga perasaan sedih,marah dan geram apabila sesuatu itu menimpa. Tetapi lama kelamaan apabila kita sabar dalam menempuh dan redha akan sesuatu. Insyaallah Allah bukakan jalan yang baik dihadapan buat kita.

Allah tidak zalim dan Allah bukan zalim. Setiap sesuatu baik atau buruk yang kita terima,itulah yang terbaik buat kita. Hidup perlu saling melengkapi antara satu sama lain. Masing-masing diberi kekurangan dan kelebihan sendiri. Untuk melengkapi hidup setiap manusia.

Allah menciptakan kita didunia sebagai seorang khalifah yakni sebagai seorang hamba yang dapat mentadbir dunia dengan baik. Melaksanakan perintah Allah dengan taat dan melaksanakan syariat islam mengikut hukum yang ditetapkan.

Ingat, untuk diri sendiri juga. Hidup ini bukan percuma tetapi kita disediakan syurga dan neraka tempat abadi buat kita. Jika kita ingin menjadi penghuni syurga berlakulah taat akan perintah Allah Taala dan jadilah orang yang bertaqwa. Kerana syurga itu indah dan bukan mudah untuk mendiaminya.


Comments

Popular posts from this blog

Zikir Penenang Hati - Hasbi Rabbi..

Hadis 35 - HUBUNGAN SESAMA ISLAM DAN HAK-HAK MUSLIM ( Imam Nawawi )

Perjalanan Hijrah Dan Dakwah Rasulullah SAW